Khamis, 15 Oktober 2026

 

SEJARAH ASAL-USUL KAMPUNG CHANGHAI

Fakhrul Anuar Aziz
Universiti Utara Malaysia
fakhrul@uum.edu.my

Abstrak

Asal usul nama sesebuah tempat amat menarik untuk dikaji kerana ia menyimpan cerita tersendiri. Kebiasaannya cerita di sebalik nama tempat hanya diturunkan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Oleh yang demikian penulis menyedari bahawa amatlah wajar kisah-kisah ini direkodkan secara bertulis supaya ia dapat dibaca oleh generasi seterusnya. Penulisan ini berdasarkan temuramah dengan lima orang penduduk Kampung Changhai. Penulis mendapatkan cerita mereka dan direkodkan sebagai suatu dokumen sejarah tempatan.

 

Pengenalan

Penulisan sejarah tempatan amat penting untuk dikaji dan direkodkan kerana ia membolehkan rakyat atau penduduk setempat mengetahui sejarah tempat mereka sendiri. Aktiviti penulisan sejarah tempatan ini membantu pihak berwajib dalam bidang sejarah mengumpulkan maklumat bagi rujukan generasi akan datang.

Penulis memilih sebuah kampung kecil yang berada berhampiran Bandar Changlun untuk dijadikan subjek kajian. Kampung itu diberi nama Kampung Changhai. Namanya unik kerana mempunyai unsur perkataan Siam. Berdasarkan keunikan inilah penulis mendapat inspirasi dan motivasi untuk menyelidik tentang asal usul nama kampung ini. Pemandangan kampung ini ditunjukkan dalam Gambar 1. Peta atau gambar satelit berkaitan kampung ini ditunjukkan dalam Gambar 2.


Gambar 1: Pemandangan sebuah rumah kayu dan petak sawah padi
di Kampung Changhai, Changlun Kedah.

 



Gambar 2: Pemandangan dari imej satelit. Sumber: Google Map

 

Carian perpustakaan yang telah dijalankan menemukan gambar-gambar poskad bertarikh sekitar awal 1900 seperti dalam Gambar 3 dan Gambar 4 di bawah.

Gambar 3: Rombongan seorang anak Raja Siam tiba
di Changloon dengan menaiki gajah.


Gambar 4: Ketibaan rombongan bergajah Kerabat Di-Raja Kedah
di Changloon.

Daripada gambar-gambar berkenaan kita boleh katakan bahawa gajah-gajah digunakan sebagai kenderaan di Pekan Changlun yang terletak berhampiran Kampung Changhai. Berdasarkan gambar-gambar lama ini juga kita dapat lihat betapa pentingnya penggunaan gajah sebagai mod pengangkutan pada zaman dahulu.

Kajian terdahulu yang berkaitan topik sejarah lisan dan pengaruh bahasa Siam di Kedah telah dilakukan oleh Kuroda (1992, 1995, 2015), Kobkua (1994) dan Sohaimi & Omar (2010). Kuroda kerap mengkaji sejarah lisan penduduk, terutamanya di kawasan utara Kedah. Dalam penulisan beliau, ada dinyatakan tentang pengaruh bahasa Siam dalam pertuturan rakyat Kedah pada zaman dahulu. Kobkua pula mendefinasikan orang Islam yang bercakap Siam sebagai Sam-Sam. Menurut beliau ramai golongan Sam-Sam di utara Malaysia telah berasimilasi dan kini dikenali sebagai Melayu. Sohaimi & Omar pula mengkaji pengaruh bahasa Siam Sam-Sam dalam permainan wayang Gedek yang terdapat di Asun, Jitra, Kedah. Mereka menggunakan Tok Dalang wayang ini sebagai subjek kajian.

 

Pengumpulan Maklumat

Penulis telah menjalankan kajian melalui kaedah temuramah bagi menjawab persoalan kenapa kampung ini dinamakan ‘changhai’. Seramai 5 orang penduduk kampung ini terlibat dalam proses pengumpulan data. Mereka telah diminta untuk menceritakan latar belakang sejarah dan asal usul kampung berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka bergaul dengan generasi terdahulu. Mereka telah memberikan kerjasama dengan baik.

Responden 1: Encik Adnan Bin Haji Yunus, 54. “Sejarah kampung Changhai dikatakan berkaitan dengan kisah seekor gajah yang hilang di sekitar kampung ini. Kejadian ini berlaku pada masa penghantaran ufti dan bunga emas dari Kedah ke Siam. Pengembalanya berusaha mencari tapi tidak jumpa. Sejak itu, kawasan peristiwa kehilangan ini digelar changhai yang bermaksud gajah hilang”.

Responden 2: Encik Azmi Bin Nazin, 65. “Setahu saya pada zaman dahulu, memang gajah digunakan untuk kerja-kerja di dalam kampung. Misalnya gajah digunakan untuk kacau air dalam kubang sampai air jadi betul-betul keruh. Masa itu ikan-ikan jadi pening. Maka penduduk kampung pun dapat menangkap ikan dengan mudah.

Responden 3: Encik Nazri Bin Abdul Aziz, 45. “Saya mendapat tahu kisah ini daripada orang tua di kampung ini. Beliau baru sahaja meninggal. Umurnya lebih kurang 87 tahun. Beliau mengatakan bahawa perkataan changhai memang berasal daripada perkataan Siam. Chang bermaksud gajah, hai bermaksud hilang. Kisahnya adalah berkaitan gajah rombongan penghantaran bunga emas Kedah ke Siam terkejut apabila terjatuh titi. Gajah itu menjadi terkejut dan melarikan diri. Akhirnya gajah itu ditemui di kawasan kampung ini, lalu dinamakan Changhai.”

Responden 4: Encik Zakaria Bin Tahir, 82. “Gajah itu jatuh di satu kawasan sungai di pekan Changlun sana. Gajah itu lari ke kawasan kampung ini. Lepas itu dia hilang di sini. Jadi itulah asal usul nama kampung ini.”

Responden 5: Encik Senayan Bin Saad, 72. “Mengikut cerita orang dulu-dulu, ada seekor anak gajah hilang di tempat ini. Peristiwa tu menjadi nama kampung inilah. Perkataan Changhai itu asalnya daripada bahasa Siam.”

 

Perbincangan

Daripada maklumat yang telah dikumpulkan, didapati semua responden mengaitkan kampung mereka dengan gajah. Seramai 4 orang responden menceritakan secara tepat bahawa terdapat kisah gajah hilang pada suatu masa dahulu. Lokasi gajah hilang itu ialah di dalam kampung mereka. Seorang responden menceritakan kegunaan gajah selain sebagai kenderaan.

            Penceritaan lisan yang dikumpulkan menumpu kepada satu peristiwa besar iaitu kehilangan seekor gajah dalam rombongan penghantaran bunga emas dari Kedah ke Siam. Perjalanan dari Kota Setar akan melalui kawasan yang kini dikenali Changlun. Di Changlun ini berlaku peristiwa gajah terjatuh dan ada gajah yang terkejut lalu melarikan diri ke kawasan Kampung Changhai.

            Gambar-gambar lama yang diperoleh juga memberi bukti bahawa kawasan sekitar kampung ini adalah kawasan laluan rombongan bergajah yang berulang alik dari Kedah ke Siam. Ini mengukuhkan lagi dakwaan penduduk bahawa asal-usul nama kampung mereka adalah berkaitan dengan gajah.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kajian ringkas ini, penulis berpendapat bahawa asal-usul nama kampung ini sememangnya berasal daripada peristiwa gajah hilang. Dalam loghat Siam Kedah, chang bermaksud gajah, manakala hai bermaksud hilang. Jadi lokasi peristiwa itu dipanggil Changhai sehingga hari ini. Kajian lebih lanjut perlu dibuat untuk mengetahui anggaran masa peristiwa gajah hilang berkenaan dan penghijrahan penduduk yang berbahasa Siam ke utara Kedah.

 

Rujukan

Kedah-Malaya~postcard~Rajah Muda & Tongkoos Returning. Diperoleh pada 1 November 2021 di https://www.worthpoint.com/worthopedia/kedah-malaya-postcard-rajah-muda-127844166

Kuroda, K., (1992 )"The Sam Sams of Kubang Pasu; the Historical relations Between

Kedah and Siam Viewed from a 'Kampung,'" Local Societies in Malaysia 1, Tokyo.


Kuroda,K., (1995) "Samsam and Siamese-A Short History of the Thai-speaker in

Kedah"(in Japanese), Nampo-Bunka Tenri Bulletin of South Asian Studies. 22.

pp.44-64


Kuroda, K., (1992 )"The Sam Sams of Kubang Pasu; the Historical relations Between

Kedah and Siam Viewed from a 'Kampung,'" Local Societies in Malaysia 1,

Tokyo.


Kuroda,K., (1995) "Samsam and Siamese-A Short History of the Thai-speaker in 

Kedah"(in Japanese), Nampo-Bunka Tenri Bulletin of South Asian Studies. 22.

pp.44-64


Kuroda, K., (1992 )"The Sam Sams of Kubang Pasu; the Historical relations Between

Kedah and Siam Viewed from a 'Kampung,'" Local Societies in Malaysia 1,

Tokyo.


Kuroda,K., (1995) "Samsam and Siamese-A Short History of the Thai-speaker in 

Kedah"(in Japanese), Nampo-Bunka Tenri Bulletin of South Asian Studies. 22.

pp.44-64

Kuroda, K., (1992). The Sam Sams of Kubang Pasu; the Historical relations Between Kedah and Siam Viewed from a 'Kampung,' Local Societies in Malaysia 1, Tokyo.

Kuroda,K., (1995).  Samsam and Siamese-A Short History of the Thai-speaker in  Kedah (in Japanese), Nampo-Bunka Tenri Bulletin of South Asian Studies. 22. pp.44-64.

Kuroda, K., (2015). Inland people of Kedah; Thai speaker in history. In book Islam and Cultural Diversity in Southeast Asia. Tokoro, Ikuya (ed.3). pp.17

Prince Necorn Sawan Paribatra in Chang Loon. Diperoleh pada 1 November 2021 di http://2bangkok.com/prince-necorn-sawan-paribatra-in-chang-loon.html

Sohaimi, A. A., dan Omar, Y., (2010). Perkembangan Identiti Kaum Peranakan Samsam Islam: Satu kajian kes seorang Dalang Wayang Gedek di Kedah. SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu, 28 (2). pp. 83-107. ISSN 0127-2721

Suwannathat-Pian, K. (1994). The Sam-Sams: A Study of Historical and Ethnic Assimilation in Malaysia. Sojourn: Journal of Social Issues in Southeast Asia, 9(1), 135–162. http://www.jstor.org/stable/41056879

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...