Selasa, 30 Disember 2008

Azam tahun baru

Tahun baru Hijrah & Masihi 'berselisih' dalam masa 3 hari sahaja. Jadi eloklah saya membuat azam baru untuk kedua-dua tahun ini. Azamnya mudah sahaja - hendak amalkan budaya menyiapkan tugasan atau tanggungjawab sebelum tiba tarikh akhirnya. Dalam bahasa mudah - tak mahu lagi melengah-lengahkan apa-apa sahaja kerja. Kerja yang dimaksudkan termasuklah bayar bil-bil utiliti, bil kad kredit dan lain-lain (sebelum kena caj tambahan ) sehinggalah kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah, majikan, rakyat serta negara.
Demi masa,
sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali mereka yang beramal soleh ,
dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran,
dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah al-Asr: 1 -3)

Rabu, 24 Disember 2008

Kaitan Malaikat, Cahaya dan Gelombang Elektromagnet

Sila baca di http://iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=878

Hakikat dan Sejarah Penemuan Gelombang Elektromagnet

Gelombang berselerakan dan bergentayangan di sekeliling kita. Antaranya ada yang berolak di atas air, bergolekan merentasi deretan pepohon padi atau seperti mana setiap hari kita dapat mendengar bunyi dan melihat sinaran cahaya. Gelombang membolehkan sesuatu itu pergi dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa sesuatu pun bergerak banyak sangat. Ciri ini membuatkan ia amat penting kepada bidang komunikasi.

Gelombang lazimnya wujud dalam medium yang mampu menyimpan dan membebaskan tenaga dalam dua bentuk berbeza tetapi saling berkait. Contohnya, bunyi boleh bergerak dalam apa sahaja medium asalkan dapat simpan tenaga sebagai pergerakan dan tekanan. Medium itu ialah seperti udara, air, pepejal, gas, dan seumpamanya. Untuk gelombang elektromagnet. mediumnya ialah ruang kehidupan kita sendiri. Alam maya kita ini dapat menyimpan tenaga dalam bentuk medan elektrik dan medan magnetik. (Ohhh…Patutlah boleh wujud fenomena halilintar atau panahan kilat dan juga aurora borealis!)

Hans Christian Oersted (1777-1851) menemui pertalian antara magnet dan elektrik dan menumpukan kepada pemahaman subjek ini dengan lebih mendalam. Dalam satu eksperimen pada 1820, dia menyambung bateri dengan wayar. Apabila didekatkan pada kompas, jarumnya bergerak. Dia segera sedar hakikat bahawa sesuatu wayar yang membawa arus akan menjadi seolah-olah seperti magnet. Ini mendedahkan bahawa magnet dan elektik saling berkait.

Michael Faraday (1791-1867) , eksperimen beliau adalah terbalikan daripada eksperimen Oersted. Pada 1831 dia menemui bahawa perubahan medan magnet berdekatan seutas wayar akan menyebabkan arus mengalir. Idea ini melengkapkan pengetahuan berkenaan pertalian antara elektrik dan magnet.

James Clerk Maxwell (1831-1879) menyambung kerja Michael Faraday (1791-1867), Dia menyedari bahawa ada kaitan rapat antara elektrik dan magnet yang membolehkan gelombang terhasil. Pengiraannya menunjukkan bahawa gelombang elektromagnet boleh bergerak pada kelajuan cahaya. Ini membuatkan dia mengesyaki bahawa cahaya pun sebenarnya adalah sejenis gelombang electromagnet juga.

Dalam tahun 1888, Heinrich Hertz (1857-1894) menghasilkan gelombang secara elektrik dan menunjukkan bahawa ia berkelakuan seperti cahaya. Dia menggunakan percikan api (spark) dari bebola tembaga yang dialirkan arus elektrik. Beliau mengesahkan teori mengenai gelombang hasil dari pengembangan pengetahuan oleh Faraday dan Maxwell.

Guglielmo Marconi (1874-1937), seorang rakyat Itali, amat tertarik dengan hasil kerja Hertz. Dalam tahun 1894, beliau mula bereksperimen dengan gelombang elektromagnet . Beliau telah membina dan mengubahsuai pemancar percikan api ciptaan Hertz. Marconi sangat bijak. Untuk membolehkan gelombang elektromagnet dihantar lebih jauh, beliau telah tumpukan gelombang itu dengan satu papan melengkung yang dibalut dengan lapisan tembaga. Setelah bertungkus lumus menjalankan eksperimen, dalam tahun 1896, pemancarnya dapat memancar (percikan api) lebih daripada 3 km (2 batu). Kejayaan ini medorong beliau untuk menghantar isyarat radio melepasi lautan Atlantik dalam tahun 1901.


Rujukan:
Bridgmen, R. (1993). Electronics. Dorling Kindersley: London.Komen tentang buku ini:
Buku ini sangat berguna untuk memahami selok-belok dan konsep-konsep asas tentang ilmu elektronik. Ia didapati sangat sesuai untuk para peminat radio amatur.

Selasa, 16 Disember 2008

Doa untuk semua calon RAE 2008-2

Saya mendoakan semoga anda semua
LULUS dalam peperiksaan ini.
Sebelum melangkah masuk dewan peperiksaan, bacalah doa "wahai yik lana min am rina roshada'
- semoga Allah permudahkan urusan anda!

Guglielmo Marconi - Pembina Pemancar Radio Yang Gigih

Pada tahun 1894, semasa beliau berumur 24 tahun, Guglielmo Marconi telah mendengar tentang kajian yang dibuat oleh santis Jerman, Heinrich Hertz. Beberapa tahun sebelum itu, Hertz membuktikan wujudnya gelombang yang tidak dapat dilihat, dipanggil gelombang elektromagnet yang bergerak di angkasa dengan kelajuan 300 juta meter sesaat. Marconi sangat teruja dengan penemuan Hertz dan yakin bahawa gelombang tersebut dapat menghantar mesej melalui jarak yang jauh tanpa menggunakan seutas wayar pun. Oleh kerana sangat minat, beliau pun membina sebuah bengkel di loteng rumah ibubapanya di Bologna, Itali dan mula menjalankan eksperimen berdasarkan penemuan-penemuan ahli fizik yang terdahulu. Pada mulanya beliau berjaya membina penghantar isyarat untuk jarak beberapa kilometer sahaja. Oleh kerana eksperimennya melibatkan kos tinggi, beliau memerlukan penaja. Namun tiada satu pun pihak berkuasa Itali yang sanggup menajanya. Malah ideanya diperlekehkan. Oleh kerana kecewa dengan layanan di Itali, beliau pun berhijrah ke England pada tahun 1896. Dipendekkan cerita, di England beliau telah ditaja oleh Kerajaan British. Dengan pengubahsuaian tertentu, beliau berjaya menghantar mesej dalam jarak beribu-ribu kilometer. Ini terbukti apabila dalam tahun 1901 isyarat radionya berjaya dihantar merentasi lautan Atlantik, iaitu dipancarkan dari Poldhu, Cornwall, England dan diterima di St. John's, Newfoundland, Kanada. Akhirnya di atas sikap gigih berusaha, beliau berjaya menubuhkan stesen penyiaran radio British yang pertama, diberi nama The Marconi Company pada tahun 1920.

Rujukan: McTavish, D. (1996). Pencipta Terkenal (edisi Bahasa Melayu), Penerbit Pan Earth:P. Jaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...