Selasa, 30 Disember 2008

Azam tahun baru

Tahun baru Hijrah & Masihi 'berselisih' dalam masa 3 hari sahaja. Jadi eloklah saya membuat azam baru untuk kedua-dua tahun ini. Azamnya mudah sahaja - hendak amalkan budaya menyiapkan tugasan atau tanggungjawab sebelum tiba tarikh akhirnya. Dalam bahasa mudah - tak mahu lagi melengah-lengahkan apa-apa sahaja kerja. Kerja yang dimaksudkan termasuklah bayar bil-bil utiliti, bil kad kredit dan lain-lain (sebelum kena caj tambahan ) sehinggalah kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah, majikan, rakyat serta negara.
Demi masa,
sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali mereka yang beramal soleh ,
dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran,
dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah al-Asr: 1 -3)

Rabu, 24 Disember 2008

Kaitan Malaikat, Cahaya dan Gelombang Elektromagnet

Sila baca di http://iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=878

Hakikat dan Sejarah Penemuan Gelombang Elektromagnet

Gelombang berselerakan dan bergentayangan di sekeliling kita. Antaranya ada yang berolak di atas air, bergolekan merentasi deretan pepohon padi atau seperti mana setiap hari kita dapat mendengar bunyi dan melihat sinaran cahaya. Gelombang membolehkan sesuatu itu pergi dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa sesuatu pun bergerak banyak sangat. Ciri ini membuatkan ia amat penting kepada bidang komunikasi.

Gelombang lazimnya wujud dalam medium yang mampu menyimpan dan membebaskan tenaga dalam dua bentuk berbeza tetapi saling berkait. Contohnya, bunyi boleh bergerak dalam apa sahaja medium asalkan dapat simpan tenaga sebagai pergerakan dan tekanan. Medium itu ialah seperti udara, air, pepejal, gas, dan seumpamanya. Untuk gelombang elektromagnet. mediumnya ialah ruang kehidupan kita sendiri. Alam maya kita ini dapat menyimpan tenaga dalam bentuk medan elektrik dan medan magnetik. (Ohhh…Patutlah boleh wujud fenomena halilintar atau panahan kilat dan juga aurora borealis!)

Hans Christian Oersted (1777-1851) menemui pertalian antara magnet dan elektrik dan menumpukan kepada pemahaman subjek ini dengan lebih mendalam. Dalam satu eksperimen pada 1820, dia menyambung bateri dengan wayar. Apabila didekatkan pada kompas, jarumnya bergerak. Dia segera sedar hakikat bahawa sesuatu wayar yang membawa arus akan menjadi seolah-olah seperti magnet. Ini mendedahkan bahawa magnet dan elektik saling berkait.

Michael Faraday (1791-1867) , eksperimen beliau adalah terbalikan daripada eksperimen Oersted. Pada 1831 dia menemui bahawa perubahan medan magnet berdekatan seutas wayar akan menyebabkan arus mengalir. Idea ini melengkapkan pengetahuan berkenaan pertalian antara elektrik dan magnet.

James Clerk Maxwell (1831-1879) menyambung kerja Michael Faraday (1791-1867), Dia menyedari bahawa ada kaitan rapat antara elektrik dan magnet yang membolehkan gelombang terhasil. Pengiraannya menunjukkan bahawa gelombang elektromagnet boleh bergerak pada kelajuan cahaya. Ini membuatkan dia mengesyaki bahawa cahaya pun sebenarnya adalah sejenis gelombang electromagnet juga.

Dalam tahun 1888, Heinrich Hertz (1857-1894) menghasilkan gelombang secara elektrik dan menunjukkan bahawa ia berkelakuan seperti cahaya. Dia menggunakan percikan api (spark) dari bebola tembaga yang dialirkan arus elektrik. Beliau mengesahkan teori mengenai gelombang hasil dari pengembangan pengetahuan oleh Faraday dan Maxwell.

Guglielmo Marconi (1874-1937), seorang rakyat Itali, amat tertarik dengan hasil kerja Hertz. Dalam tahun 1894, beliau mula bereksperimen dengan gelombang elektromagnet . Beliau telah membina dan mengubahsuai pemancar percikan api ciptaan Hertz. Marconi sangat bijak. Untuk membolehkan gelombang elektromagnet dihantar lebih jauh, beliau telah tumpukan gelombang itu dengan satu papan melengkung yang dibalut dengan lapisan tembaga. Setelah bertungkus lumus menjalankan eksperimen, dalam tahun 1896, pemancarnya dapat memancar (percikan api) lebih daripada 3 km (2 batu). Kejayaan ini medorong beliau untuk menghantar isyarat radio melepasi lautan Atlantik dalam tahun 1901.


Rujukan:
Bridgmen, R. (1993). Electronics. Dorling Kindersley: London.Komen tentang buku ini:
Buku ini sangat berguna untuk memahami selok-belok dan konsep-konsep asas tentang ilmu elektronik. Ia didapati sangat sesuai untuk para peminat radio amatur.

Selasa, 16 Disember 2008

Doa untuk semua calon RAE 2008-2

Saya mendoakan semoga anda semua
LULUS dalam peperiksaan ini.
Sebelum melangkah masuk dewan peperiksaan, bacalah doa "wahai yik lana min am rina roshada'
- semoga Allah permudahkan urusan anda!

Guglielmo Marconi - Pembina Pemancar Radio Yang Gigih

Pada tahun 1894, semasa beliau berumur 24 tahun, Guglielmo Marconi telah mendengar tentang kajian yang dibuat oleh santis Jerman, Heinrich Hertz. Beberapa tahun sebelum itu, Hertz membuktikan wujudnya gelombang yang tidak dapat dilihat, dipanggil gelombang elektromagnet yang bergerak di angkasa dengan kelajuan 300 juta meter sesaat. Marconi sangat teruja dengan penemuan Hertz dan yakin bahawa gelombang tersebut dapat menghantar mesej melalui jarak yang jauh tanpa menggunakan seutas wayar pun. Oleh kerana sangat minat, beliau pun membina sebuah bengkel di loteng rumah ibubapanya di Bologna, Itali dan mula menjalankan eksperimen berdasarkan penemuan-penemuan ahli fizik yang terdahulu. Pada mulanya beliau berjaya membina penghantar isyarat untuk jarak beberapa kilometer sahaja. Oleh kerana eksperimennya melibatkan kos tinggi, beliau memerlukan penaja. Namun tiada satu pun pihak berkuasa Itali yang sanggup menajanya. Malah ideanya diperlekehkan. Oleh kerana kecewa dengan layanan di Itali, beliau pun berhijrah ke England pada tahun 1896. Dipendekkan cerita, di England beliau telah ditaja oleh Kerajaan British. Dengan pengubahsuaian tertentu, beliau berjaya menghantar mesej dalam jarak beribu-ribu kilometer. Ini terbukti apabila dalam tahun 1901 isyarat radionya berjaya dihantar merentasi lautan Atlantik, iaitu dipancarkan dari Poldhu, Cornwall, England dan diterima di St. John's, Newfoundland, Kanada. Akhirnya di atas sikap gigih berusaha, beliau berjaya menubuhkan stesen penyiaran radio British yang pertama, diberi nama The Marconi Company pada tahun 1920.

Rujukan: McTavish, D. (1996). Pencipta Terkenal (edisi Bahasa Melayu), Penerbit Pan Earth:P. Jaya.

Sabtu, 29 November 2008

Taklimat dari SKMM

Pada Sabtu, 29 November 2008, pihak SKMM telah mengadakan majlis taklimat di Hotel Putra Palace, Kangar, Perlis. Taklimat disampaikan oleh Pengurus SKMM Cawangan Utara iaitu En. Zainol. Beliau telah menjelaskan tentang peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh pengendali radio amatur. Antara isu yang dibangkitkan ialah radas atau radio yang digunakan haruslah ada cop SIRIM, peraturan mengenai repeater, band plan, dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh SKMM.

Mengenai peperiksaan radio amatur (RAE), beliau menekankan tentang Hukum Ohm dan cara mengira jarak gelombang. Beliau juga menunjukkan statistik mengenai kadar kelulusan RAE setiap sesi sehingga 2007. Purata calon yang LULUS ialah sebanyak 47.90%. Ini bermakna LEBIH daripada separuh calon RAE gagal setiap sesi. Markah lulus pula ialah 50%. Lokasi peperiksaan RAE sesi 2, 2008 ialah di Perda Tech, Nibong Tebal, Seberang Perai Utara.

Rabu, 19 November 2008

Memancar dari Bangunan Tingkat 15

Semasa saya menghadiri Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu di Holiday Villa Subang Jaya baru-baru ini, saya berkesempatan membuat pemancaran di ruang udara lembah Klang. Saya menggunakan radio 5 Watt, antena rubber dark sahaja. Oleh kerana berada di tingkat 15, saya dapat membuat pancaran sehingga hampir 10 km. Saya dapat berQSO bersama 9W2RXZ yang berada di Kg. Kerinchi dengan kualiti audio yang sangat baik.

Sabtu, 25 Oktober 2008

Angkasawan Richard Garriot kembali ke bumi

Russians, plus American tourist, return from space

By STEVE GUTTERMAN

MOSCOW (AP) — Soon after he touched down Friday, American space tourist Richard Garriott got a pat on the head and an admiring question from his astronaut father. "How come you look so fresh and ready to go?" 77-year-old Owen Garriott asked his son, who was sitting in an armchair on the steppes of Kazakhstan after being pulled from the gumdrop-shaped Soyuz capsule.
"Because I'm fresh and ready to go — again," Richard declared. "What a great ride that was."
Richard Garriott, a 47-year-old computer games designer who created the Ultima game series, paid US$30 million for trip to the International Space Station. When he lifted off Oct. 12, he became the first American to follow his father into space.

Sumber:
Associated Press & Google News

Selasa, 21 Oktober 2008

Mendengar audio dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)

Bersempena National Space Challenge yang berlangsung di Planetarium Negara, KL, seramai 20 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia akan terlibat dalam sesi scheduled contact dengan angkasawan Richard Garriot (jutawan permainan komputer), W5KWQ di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Stesen bumi ialah di 9M2RPN, Planetarium Negara, KL.

Maklumat QSO adalah seperti berikut:
Tarikh: 21/10/2008
Masa: 4.30 petang - 4.40 petang
Downlink Freq: 145.800

Saya guna rig: ICOM V8000, antena: mobile untuk mendengar. Kualiti penerimaan dari ISS ialah 5&9!

Sumber:
Gambar disalin dari
http://static.howstuffworks.com/gif/space-station-iss-orbit.jpg
Audio dan video hasil rakaman dan suntingan 9W2UUM

Cara Bersedia Menghadapi Peperiksaan Radio Amatur


Perancangan Jaluran (Band Plan)

Kadang-kadang saya agak keliru apabila ada rakan-rakan ham memberitahu tentang penggunaan saluran simplex di kawasan mereka dalam bentuk kod V, bukannya dalam nilai frekuensi. Jadi setelah saya siasat rupanya, terdapat sistem penamaan saluran yang telah ditetapkan oleh ITU dan diwartakan secara rasmi oleh SKMM. Jadual yang disertakan menunjukkan sebahagian daripada band plan yang dimaksudkan itu. Sebagai contoh, daerah Kubang Pasu, menggunakan V24. Daerah Sik pula V28. Daerah Parit Buntar, Perak guna V38 dan begitulah seterusnya.
Nota: Untuk makluman anda, soalan tentang band plan pernah keluar dalam RAE 2008-1.

Ahad, 19 Oktober 2008

Jom lawat Tapak Pesta Konvo UUM



Harmonic saya sedang enjoy dengan kuda terbang.

Tetamu dari Permatang Pauh

Pada Sabtu, 18 Oktober 2008, saya sempat bertemu dengan saudara Fazrul, (SWL-FST) dari Permatang Pauh. Beliau baru sahaja selesai mengambil skrol Ijazah Sarjana Kepintaran Buatan (MSc. AI) dari Tuanku Canselor, di UUM. Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada beliau. Semoga bertemu lagi di udara dan di daratan.

Rabu, 15 Oktober 2008

Kabus Tebal Menyelubungi Sintok

Assalamualaikum & selamat pagi, di sini 9W2UUM, mobile, melaporkan bahawa kabus sangat tebal di kawasan Sintok. Jarak penglihatan menjadi terhad kepada lebih kurang 150meter. Sila pasangkan lampu pesawat anda dan tanggalkan 'rayben'. Suhu turun pada sekitar 29'C. Anda boleh matikan suis penghawa dingin jika hendak jimat minyak. Sekian terima kasih.

Selasa, 14 Oktober 2008

Pesta Konvo UUM, Sesi Oktober 2008

(Gambar disalin dari: http://konvo.uum.edu.my/ .
Terima kasih kepada jurufoto UUM- Pak Halim)
Bersempena konvokesyen pada 18-20 Oktober 2008, saya dan rakan-rakan ham di sekitar UUM akan monitor di frekuensi rasmi untuk daerah Kubang Pasu iaitu 145.300.
Kami amat berbesar hati untuk berQSO dan bertemu saudara-saudari yang datang ke majlis ini. Semoga anda semua selamat sampai dan selamat pulang ke tempat asal.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Peperiksaan Radio Amatur Malaysia Sesi 2008 -2


9W2UUM sedang pulun mejawab soalan RAE 2008 - Sesi 1, Jun 2008. Saya balun 3 jam penuh.
Petugas SKMM dok senyum saja. Depa pun pelik, sebab orang lain kebanyakannya sudah balik dah. Tinggal saya dan 2-3 orang calon sahaja pada minit-minit terakhir. hehehe. Alhamdulillah LULUS!
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ada rakan sekerja yang masih kabur tentang kepentingan peperiksaan ini. Jadi saya jelaskan dalam bentuk soal-jawab (Soal-jawab adalah anak kunci ilmu - Saidina Ali (r.a)).

Soalan lazim:

1.Pihak berkuasa manakah yang menganjurkan peperiksaan ini?

Jawapan: Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM)

2. Siapakah yang patut ambil peperiksaan ini?
Jawapan: Individu yang berminat untuk mengambil lesen bagi menggunakan alatan radio amatur secara sah, mungkin atas sebab hobi dan juga mungkin atas sebab tugasan tempat kerjanya.


3. Apakah faedah saya ambil peperiksaan ini?

Jawapan: i. atas dasar menambah ilmu, ii. untuk melayakkan anda memohon lesen radio, iii. mengelakkan anda dari di saman beratus ribu oleh SKMM jika menggunakan alatan radio tanpa lesen, iv. menambahkan kenalan anda seluruh dunia, sekiranya anda terus menjadikan radio amatur sebagai hobi. v. boleh dinamakan sebagai aktiviti khidmat sosial, pengurusan bencana atau aktiviti luar dari tempat kerja (untuk diisi dalam borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) anda setiap tahun) dan lain-lain alasan yang munasabah.

Tarikh tutup permohonan RAE = 24 OKT 2008.
Tarikh peperiksaan RAE = 17 DIS 2008.

Isnin, 6 Oktober 2008

Jamuan Hari Raya Ham Radio Alor Star


Terima kasih Pak Marzuki dan rakan ham A. Star kerana sudi menjemput kami dari Changlun menghadiri majlis ini.

Eyeball di Alor Star


SWL MAI (Ismail), 9W2UUM (Fakhrul), 9W2HLM (Halim), dan 9W2CPV (Fairul). Pak Halim & Pak Fairul bermukim di Parit Buntar. InsyaAllah saya akan keloi rakan di Parit Buntar (145.475 MHz) bila saya turun ke selatan nanti.

Jumaat, 3 Oktober 2008

Kenangan Aidilfitri 1429H

Bersama seluruh keluarga (kecuali adik bongsu, yang menetap di Kuching Sarawak). Kesempatan untuk bersama sebegini memang sukar untuk ditemui. Syukur pada kali ini kami semua dapat ditemukan serentak. Hari Raya, hari untuk bergembira, bukan untuk bersedih.

Ahad, 21 September 2008

Majlis Berbuka Puasa dan Reunion Rakan STSSS Batch 1986-1990

Bersama rakan sekelas, sebilik & sepermainan -Halim Md. Lazim.
Kini beliau jadi rakan sekerja di universiti yang sama.

Sdr, Zul (Pegawai Bank Rakyat); Dr. Mahzan (Hospital Seb. Jaya),
Sdr. Zali (Guru Matematik di Tikam Batu); dan saya. Saya; Sdr. Muhammad (Bussinessman); Sdr. Mahzan (berkopiah);
Sdr. Shahril (Pegawai Kanan Penang Port); dan Sdr. Zamri (Jurutera Motorola).

----------------------------------------------------------------------------------

Dalam pertemuan ini, sempat juga saya mempromosikan tentang radio amatur. Akhirnya, ada juga seorang dua yang berminat menyertai hobi radio silaturrahim ini.


p/s: STSSS = Sekolah Tun Syed Sheikh Shahabudin,
Jln. Kg Baru, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
(Dahulunya dipanggil Sek. Sains Pulau Pinang)

Jumaat, 19 September 2008

Tiang Antena Aluminium

Syukur alhamdulillah, ada juga rakan yang ingin menolong dalam usaha untuk mendirikan antena yang tinggi sekitar 40 kaki. Rakan dari Alor Setar telah sudi membuat penghantaran ke rumah dengan harga promosi. Kalau dibandingkan dengan harga besi di kedai 'hardware' rasanya yang ini lebih murah. Kos yang perlu dibayar hanya RM 90++ sahaja. Saya pun nak beli jugalah kalau macam ini.
Posted by Picasa

Rabu, 17 September 2008

Jumaat, 12 September 2008

Kali Pertama Memancar di Pancar Ulang Transnasional

Apa perasaan saya sewaktu kali pertama memancar di saluran transnasional? Jawapannya saya sangat teruja kerana dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan yang beratus-ratus kilometer dari rumah saya. Jika dahulu semasa SWAL, saya cuma mendengar sahaja perbualan mereka, hari ini pada 12 September 2008, saya sendiri terlibat dalam QSO. Antara rakan - rakan yang pertama kali saya berQSO dalam jaluran panjang ialah:
9W2EDK(Subang), 9W2ZZD (K.Bharu), 9W2WMZ (Keratong), dan 9W2BDZ (Shah Alam). Keterujaan ini membuatkan saya tidak dapat tidur lena. Terlalu seronok! Terima kasih ASTRA kerana memberi izin kepada saya untuk menggunakan pancar ulang. (lepas raya baru nak masuk jadi ahli Astra).

Pelekat Khas Untuk Keretaku...

Reka bentuk sendiri. Buat dengan Photoshop. Lepas tu hantar ke kedai percetakan.

Sudah siap, terus bubuh pada bahagian cermin belakang.

Rehat Minda di Laman Rumah Saya




Tips Dari Otai Radio -Sediakan Peralatan Yang Baik Sebelum Memancar

Semasa saya monitor jaluran transnasional (Jerai) pada tanggal 9 September 2008, ada rakan lama (9W2???) dari Perak memberi nasihat atau pun tips kepada rakan-rakan yang baru dapat sayap. Beliau menasihatkan orang baru supaya menyediakan alatan yang baik sebelum memancar di jaluran panjang. Beliau syorkan audio yang dihantar haruslah bersih, padat, padu dan jelas. "Janganlah semasa memancar, audio anda berbunyi cepoih, cepoih, cepoih. Buat sakit telinga orang lain sahaja", katanya. Walaupun nadanya agak 'brutal' namun saya faham maksud beliau dan bersetuju dengan saranan beliau. Ini bermakna, kita sebagai stesen pemancar haruslah menyediakan peralatan pemancar yang berkualiti supaya mutu pancaran terjamin.

Lantaran itu, demi untuk berQSO seluruh tanahair, saya pun cepat-cepat pergi beli rig yang lebih berkuasa tinggi supaya dapat memancar audio lebih padu, kemas dan lebih jauh! Terima kasih kepada 9W2USF dan 9W2BCD yang sudi memasangkan rig Icom V8000 pada kereta saya secara percuma sahaja. Betapa mulianya hati mereka.

Selasa, 9 September 2008

9W2UUM

Alhamdulillah, akhirnya pada tanggal 9 September 2008, bersamaan 9 Ramadhan 1429 saya ditauliahkan nama pangilan 9W2UUM oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malam ini juga malam bersejarah - saya telah masuk ke simplex Sik dan pancar ulang tempatan Sungai Petani secara rasmi.
Rakan-rakan yang saya QSO pada malam ini ialah:
(simplex) 9W2PCS, 9W2AZV, 9W2ZOZ,
(pancar ulang) 9W2PKK, 9W2HRY, dan 9W2DOZ.

Terima kasih kepada semua.

Urusan Memohon Apparatus Assignment (AA)

Hari ini Pak Aziz (9W2AZE) pergi ke pejabat MCMC Cawangan Utara. Beliau menguruskan permohonan AA bagi saya dan rakan-rakan yang lain. Semoga saya mendapat callsign pilihan sendiri iaitu 9W2UUM.

Khamis, 28 Ogos 2008

Cintai Negara Kita

Menurut ustaz saya, mencintai negara pun sebahagian dari iman. Jadi saya pun kibarkan bendera Malaysia dan bendera negeri Kedah di halaman rumah.

Selasa, 26 Ogos 2008

Callsign Idaman

Alhamdulillah, pada 25 Ogos 2008 saya mendapat berita bahawa telah lulus RAE. Sekarang baru boleh berangan untuk mendapatkan CALLSIGN yang rasmi.

Harap dapatlah 9W2UUM.


Isnin, 21 Julai 2008

Kenwood TK-208 = Jingtong JT-208

Setelah puas mencari manual penguna Kenwood TK-208, akhirnya saya mendapati bahawa ia adalah serupa dengan model dari China - Jingtong JT-208. Manual pengguna Jingtong lebih mudah diperolehi dan ramai ahli radio amatur luar negara telah menulis komen mengenai mutu radio jenis ini.

Sabtu, 12 Julai 2008

Panduan Kepada Peminat Baru Radio Amatur / SWAL

Jika anda adalah peminat baru radio amatur, di sini saya ingin beri sedikit panduan tentang apa yang patut dibeli supaya anda tidak terlebih 'budget' disebabkan oleh kekurangan maklumat (mungkin anda akan di'pau' individu yang mementingkan untung besar). Sebenarnya, dengan kos lebih kurang RM380.00, anda sudah boleh menjadi SWAL (Short Wave Amateur Listener).

Berikut adalah maklumat yang berguna untuk anda:

1. Radio Transceiver.
Saya cadangkan jenis Kenwood TK-508. Kadang-kadang ia diletak nama Weiwei, Motorola dan lain-lain. Maklumlah, barangan klon. Radio ini dilengkapi dengan antena jenis 'rubber dark' dan pengecas bateri.
Kos: RM 350.00

Ciri radio ini

  • Kuasa output: 6W
  • Julat frekuensi: (VHF) 136 mHz- 174 mHz
  • Ingatan menyimpan sehingga 188 saluran
  • boleh guna mod Wide (25kHz) dan mod Narrow (12.5kHz)
  • Fungsi 'scanning' saluran
  • 3 warna latar paparan
  • Panggilan kecemasan
  • Boleh diprogram dengan komputer
2. Penyambung atau Connector - untuk menyambungkan radio dengan antena lain.
Kos: RM10.00

3. Antena
Untuk penerimaan yang lebih baik saya cadangkan anda membeli (atau membuat sendiri) antena jenis 'ribbon'. Antena ini sangat 'flexible'. Ia boleh digantung kepada pelbagai benda, termasuklah di atas pokok.
Kos: RM 20.00

Peralatan di atas adalah keperluan asas untuk seseorang SWAL mula menceburi bidang radio amatur. Aksesori-aksesori lain (misalnya PTT, 'power supplier' dalam kereta, antena slim jim, antena mobil, dan lain-lain) boleh dibeli kemudian apabila 'budget' anda mengizinkan.

Di mana anda boleh beli peralatan itu dengan harga yang berpatutan?
Jawapan: Saya tidak bolehlah iklankan tempat penjualan radio dalam ruangan ini. Jadi, kepada yang berminat sila hubungi saya melalui :
Yahoo! Messenger ID: biruartik
e-mel: biruartik@gmail.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...