Rabu, 30 November 2011

Senarai Repeater ASTRA Terkini

Berikut adalah senarai repeater ASTRA berdasrakan laman web http://astra.org.my/organisasi/senarai-repeater/

Isnin, 28 November 2011

Presiden Astra Melawat UUM

Dari kanan: 9W2FBT, 9W2DTB, 9W2UUM, dan, 9W2FZE.

Tanggal 28 November 2011, Presiden ASTRA iaitu Yang Berhormat Dato' Bahari Bin Taib telah melawat UUM. Kunjungan beliau disambut oleh kakitangan dan 'fellow' ITU-UUM. Pada sebelah petangnya, kami sempat TT di Medan Selera Hijau Kuning, berdekatan Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Dalam kunjungan itu beliau menekankan kepentingan UUM menjadi sebahagian daripada penghubung saluran radio amatur di Utara Semenanjung Malaysia. Kedudukan startegik UUM dilihat dapat membuka 'window' kepada rakan-rakan yang jauh di sebelah timur Kedah. Pihak kami amat berbesar hati di atas saranan yang diberikan dan insya-Allah akan melaksanakannya sedikit masa lagi.

Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara

Dengan sukacitanya saya ingin menghebahkan tentang kewujudan portal banjir MKN. Dengan portal ini, kita dapat info banjir yang sah dan terkini. Syabas MKN!

 - de 9W2UUM

Rabu, 23 November 2011

Petanda Banjir Kawasan Utara Sudah Datang


Petanda banjir di utara ini berdasarkan pemerhatian kadar hujan yang turun secara luar biasa. Di Hutan Sintok misalnya, hujan lebat dan kadang kala renyai-renyai yang mengambil masa melebihi 4 jam mulai datang pada hari ini, 23 November 2011. Hujan bermula pada 12.30 tengahari tadi sehinggalah jam 4.30 petang ini (semasa artikel ini ditulis), dan masih belum berhenti lagi.

Untuk mengukuhkan andaian ini kami gabungkan maklumat terkini taburan hujan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). Gambar satelit dari JMM di bawah (dihantar pada 23/11/11, jam 6.00 pagi tadi) menunjukkan betapa lebatnya hujan di pantai timur Semenanjung Malaysia.Bacaan menunjukkan taburan hujan sangat tinggi - melebihi 180mm. Pada masa yang sama, sebahagian besar awan hujan itu masih berada di Laut China Selatan.

Jadi, kita harus bersedia dari sekarang!


Habis.

Khamis, 17 November 2011

BILIK GERAKAN BANJIR UUM BEROPERASI

UUM ONLINE: Bilik gerakan banjir Universiti Utara Malaysia (UUM) di Taman Siswa, Tanah Merah, Jitra mula beroperasi sebagai langkah persediaan untuk menghadapi banjir.Tinjauan sekitar Taman Siswa yang menempatkan pelajar antarabangsa universiti ini menyaksikan petugas Majlis Kesukarelawanan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) sibuk membuat persiapan tempat di kawasan yang akan menempatkan sukarelawan semasa banjir nanti.
Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keperluan dari semua aspek telah dilakukan sekiranya banjir melanda daerah ini. Katanya Taman Siswa milik universiti ini akan dijadikan sebagai Bilik Gerakan Banjir UUM bagi menempatkan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UUM serta Majlis Kesukarelawanan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM).
“Sehingga kini sepuluh buah rumah kediaman akan dijadikan penempatan untuk sukarelawan, sebuah untuk bilik gerakan manakala rumah-rumah lain akan dijadikan penempatan kepada mangsa banjir samada dikalangan staf dan masyarakat setempat bergantung kepada kekosongan, ”ujar beliau ketika ditemui dipejabatnya.Prof Datuk Dr Mohamed menambah persediaan yang dilakukan ini adalah mengambil kira amaran yang diberikan supaya persiapan dan persediaan awal dilakukan sebelum banjir melanda.
Katanya sistem Komunikasi juga telah digerakkan supaya pengumuman mengenai banjir dan pemindahan dibuat melalui sistem panggilan ringkas (SMS), email ataupun melalui telefon.
Beliau berharap semua kakitangan dan pelajar sentiasa mendengar dan mendapatkan info terkini mengenai pengumuman banjir yang akan disampaikan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.
“Saya harap kakitangan dan pelajar UUM khususnya sentiasa bersedia dan mendengar amaran atau maklumat yang disampaikan samada secara terus ataupun melalui media agar tidak kelam kabut, ”ujar beliau lagi.Sementara itu bagi kakitangan yang menyertai kumpulan sukarelawan banjir nanti beliau memberi kelonggaran kerana tugas mereka kepada masyarakat juga amat diperlukan.
Katanya sumbangan tenaga melalui pembabitan dalam sukarelawan diharap dapat meningkatkan jati diri dan semangat kesukarelawanan dikalangan staf universiti ini.
Dalam pada itu Jawatankuasa tetap MASKUM Shahrin Ahmad dari UUM yang ditemui di Taman Siswa berkata, persiapan awal  telah dilakukan seperti yang diarahkan oleh Naib Canselor.
Manakala Pengurus Taman Siswa UUM, Rodzi Abd Rahman pula berkata, kemudahan lain seperti surau, dewan makan dan kelengkapan lain telah disediakan sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir di daerah ini.

Selasa, 15 November 2011

UUM, UniMAP, NCIA DAN MKN JALIN KERJASAMA ANJUR BENGKEL PENGURUSAN BENCANA BANJIR

UUM ONLINE: Bengkel Pengurusan Bencana Banjir dengan tema Perkongsian Strategik Kerajaan – Swasta - Komuniti Dalam Pengurusan Risiko pada Pra, Semasa dan Pasca Banjir yang mengadunkan idea daripada pihak akademik, agensi awam, swasta dan komuniti bagi mencari solusi kepada pengurusan bencana banjir telah diadakan di EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Bengkel dengan kerjasama di antara UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini diadakan bertepatan dengan musim banjir yang dikatakan sering berlaku pada November hingga Mac.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, perbincangan yang melibatkan kerjasama tiga entiti UUM-UniMAP, NCIA dan MKN ini akan menghasilkan strategi yang terbaik dan resolusi yang pragmatik bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

“Kita sedia maklum bahawa bencana alam seperti banjir, gempa bumi, gunung berapi, tsunami, ribut taufan akan terus berlaku kerana ia tidak dapat dikawal oleh manusia.

“Oleh yang demikian, kita hanya mampu membendung dan mengurangkan impak serta kesan sampingan dari bencana-bencana alam seperti ini.

“Dengan penganjuran bengkel seumpama ini, kita berharap hasil-hasil kajian yang akan dibentangkan dapat dikongsi bersama dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana banjir dan seterusnya membincangkan pelbagai isu terkini dalam pengurusan banjir pada pra, semasa dan pasca bencana banjir,” ujarnya di majlis perasmian bengkel tersebut.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kedah, Datuk Azmi Lateh berharap bengkel ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi banyak manfaat kepada semua pihak terutamanya kerajaan, swasta dan komuniti masyarakat setempat dalam menghadapi bencana banjir di negara ini.

“Kita juga yakin bahawa satu Resolusi Pengurusan Bencana Banjir yang terbaik dapat dihasilkan bagi mengurangi risiko banjir pada masa akan datang,” jelasnya. 

Turut berucap pada majlis yang sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim menjelaskan penganjuran bengkel selama dua hari bermula 14 dan 15 November ini merupakan sebahagian daripada program MoU antara UUM-UniMAP yang dimeteria pada 23 Mei lalu.

“Bengkel ini diadakan tepat pada masanya dan saya berharap satu resolusi banjir yang terbaik dapat dihasilkan,” katanya.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP turut menyumbang kertas kerja dalam aspek sosial bagi pengurusan pra bencana banjir yang akan dibentang oleh Prof Madya Dr Salleh Abdul Rashid.

Tambah beliau, kedua-dua universiti ini sedang merangkakan program penyelidikan bersama dalam bidang sains sosial dan sains dan teknikal (S&T) khususnya untuk stakeholder dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Khamis, 10 November 2011

Kedahsyatan Banjir di Thailand

Ingin tahu betapa seriusnya bencana banjir di Thailand? Sila buat perbandingan gambar satelit (ihsan dari NASA) di bawah ini. Anda boleh menilai sendiri betapa banyaknya air hujan yang melimpahi bumi Thailand sehinga ia dapat ditangkap oleh kamera satelit pemantau. Cuba lihat kawasan banjir itu, nampak seolah-olah seperti tasik besar bukan? Patutlah berminggu-minggu air tidak surut di Kota Bangkok. Sunguh menakutkan. Bayangkan jika air itu turun di Semenanjung Malaysia... Penulis tergamam seketika.

de 9W2UUM


Rujukan: http://earthobservatory.nasa.gov/NaturalHazards/view.php?id=76369

Latihan MySET - pada 12, 14, 15, dan 16 November 2011

Latihan MySET ini akan berjalan serentak seluruh negara. 

HQ ialah di MARES Club House, Petaling Jaya. Semua ahli MARES digalakkan hadir ke Kelab MARES pada hari berkenaan. Rakan-rakan Radio Amatur di lembah Kelang juga boleh hadir. Tetapi bagi rakan-rakan yang jauh tidak perlu hadir. Mereka masih boleh melibatkan diri dengan latihan ini, samada di base masing-masing atau di Club house persatuan masing-masing. 

Kami syorkan untuk setiap lokaliti perlu ada pasukan pemantau/responders. Buat masa ini sudah ada pasukan begini di Temerloh, Kuala Terengganu, Kota Bharu, dan Johor Baru. Kami galakkan rakan-rakan ditempat lain menubuhkan pasukan sebegini. Mereka juga boleh monitor atau membantu menyampaikan (relay) trafik (berita) semasa mobile/portable. Selain itu, sekiranya sesuatu bencana berlaku dan kami mendapat arahan dari pihak Majlis Keselamatan Negara (Putrajaya), kami akan gerakkan pasukan yang hampir dengan lokasi "bencana" untuk menjimatkan masa.

Apapun,  yang paling penting ialah semua rakan Radio Amatur mendaftar dahulu supaya kami dapat gambaran lokasi, peralatan dan mode komunikasi yang akan digunakan bagi memudahkan kami menghantar arahan tertentu, khusus untuk tuan-puan. Contohnya sekiranya tuan/puan tidak memiliki peralatan HF, adalah tidak munasabah untuk kami menghantar arahan supaya tuan-puan menghantar message menggunakan peralatan tersebut. Seperkara lagi, misalnya kami perlu hantar sesuatu trafik ke Kampung Pahi, kami perlu tahu Callsign stesyen yang paling hampir dengan kampung berkenaan. Jika tidak mesej berkenaan mungkin akan sampai ke tempat lain.  Kami akan jelaskan kaedah latihan, frekuensi dan sebagainya kemudian selepas menerima pendaftaran tuan/puan.

Seterusnya, kami beranggapan selepas sesuatu bencana berlaku, banyak kemudahan prasarana komunikasi musnah atau tidak dapat digunakan. Misalnya pengulang Celcom, Maxis dan Digi ditenggelami air. Kabel TM terputus. Disamping itu bekalan elektrik juga terganggu. Oleh itu latihan simulasi ini mengambil kira perkara berikut:

  1. stesyen-steysen pengulang (Repeaters) mungkin ada yang rosak/tidak dapat digunakan. Jadi kita cuba elakkan dari menggunakan stesyen-stesyen pengulang.
  2. tiada bekalan elektrik. Jadi semua stesyen perlu beroperasi menggunakan bateri atau genset.
  3. Tidak semua orang boleh beroperasi 24 jam sehari. Mungin ada antara kita hanya boleh menyumbang 3-4 jam sahaja sehari. Jadi kita perlu fikir cara untuk bertugas secara 'shift' supaya di lokaliti masing-masing ada orang memantau frekuensi yang ditetapkan, dan boleh membantu sekiranya diperlukan. Untuk lokaliti masing-masing kami serahkan kepada tuan/puan untuk fikirkan.

Sukacita dimaklumkan, latihan MySET akan dijalankan pada 12 November 2011. Kemudian antara 14 November-16 November 2011 MARES akan terlibat dengan latihan bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PDRM, Tentera, dsb. Latihan bersama ini akan digunakan untuk menguji sistem komunikasi, prosedur dan kesiapsiagaan pasukan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat bencana di mana-mana tempat di Malaysia.  

Kesiapsiagaan kita semua akan menentukan samada Radio Amatur akan dipandang tinggi, atau dianggap "unreliable."

de - 9W2STT
via 9w2stt@gmail.com (forwarded message to ITU-UUM Director)

Selasa, 8 November 2011

Kerja-Kerja Pemasangan Antena 9M4ITU (UUM Sintok)

Dimaklumkan bahawa kerja-kerja pemasangan antena 9M4ITU akan dijalankan pada 23 November 2011, mulai jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Kerja pemasangan ini akan diketuai oleh 9M2ZS. Sehubungan dengan itu, kami memohon mana-mana rakan ham (tidak kira mana-mana persatuan atau kelab) yang berkesempatan pada tarikh berkenaan untuk datang membantu. Sekian harap maklum.

de - 9W2UUM
(ITU-UUM Fellow)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...