Selasa, 15 November 2011

UUM, UniMAP, NCIA DAN MKN JALIN KERJASAMA ANJUR BENGKEL PENGURUSAN BENCANA BANJIR

UUM ONLINE: Bengkel Pengurusan Bencana Banjir dengan tema Perkongsian Strategik Kerajaan – Swasta - Komuniti Dalam Pengurusan Risiko pada Pra, Semasa dan Pasca Banjir yang mengadunkan idea daripada pihak akademik, agensi awam, swasta dan komuniti bagi mencari solusi kepada pengurusan bencana banjir telah diadakan di EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Bengkel dengan kerjasama di antara UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini diadakan bertepatan dengan musim banjir yang dikatakan sering berlaku pada November hingga Mac.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, perbincangan yang melibatkan kerjasama tiga entiti UUM-UniMAP, NCIA dan MKN ini akan menghasilkan strategi yang terbaik dan resolusi yang pragmatik bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

“Kita sedia maklum bahawa bencana alam seperti banjir, gempa bumi, gunung berapi, tsunami, ribut taufan akan terus berlaku kerana ia tidak dapat dikawal oleh manusia.

“Oleh yang demikian, kita hanya mampu membendung dan mengurangkan impak serta kesan sampingan dari bencana-bencana alam seperti ini.

“Dengan penganjuran bengkel seumpama ini, kita berharap hasil-hasil kajian yang akan dibentangkan dapat dikongsi bersama dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana banjir dan seterusnya membincangkan pelbagai isu terkini dalam pengurusan banjir pada pra, semasa dan pasca bencana banjir,” ujarnya di majlis perasmian bengkel tersebut.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kedah, Datuk Azmi Lateh berharap bengkel ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi banyak manfaat kepada semua pihak terutamanya kerajaan, swasta dan komuniti masyarakat setempat dalam menghadapi bencana banjir di negara ini.

“Kita juga yakin bahawa satu Resolusi Pengurusan Bencana Banjir yang terbaik dapat dihasilkan bagi mengurangi risiko banjir pada masa akan datang,” jelasnya. 

Turut berucap pada majlis yang sama ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim menjelaskan penganjuran bengkel selama dua hari bermula 14 dan 15 November ini merupakan sebahagian daripada program MoU antara UUM-UniMAP yang dimeteria pada 23 Mei lalu.

“Bengkel ini diadakan tepat pada masanya dan saya berharap satu resolusi banjir yang terbaik dapat dihasilkan,” katanya.

Manakala Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP turut menyumbang kertas kerja dalam aspek sosial bagi pengurusan pra bencana banjir yang akan dibentang oleh Prof Madya Dr Salleh Abdul Rashid.

Tambah beliau, kedua-dua universiti ini sedang merangkakan program penyelidikan bersama dalam bidang sains sosial dan sains dan teknikal (S&T) khususnya untuk stakeholder dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...