Khamis, 17 November 2011

BILIK GERAKAN BANJIR UUM BEROPERASI

UUM ONLINE: Bilik gerakan banjir Universiti Utara Malaysia (UUM) di Taman Siswa, Tanah Merah, Jitra mula beroperasi sebagai langkah persediaan untuk menghadapi banjir.Tinjauan sekitar Taman Siswa yang menempatkan pelajar antarabangsa universiti ini menyaksikan petugas Majlis Kesukarelawanan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) sibuk membuat persiapan tempat di kawasan yang akan menempatkan sukarelawan semasa banjir nanti.
Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keperluan dari semua aspek telah dilakukan sekiranya banjir melanda daerah ini. Katanya Taman Siswa milik universiti ini akan dijadikan sebagai Bilik Gerakan Banjir UUM bagi menempatkan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UUM serta Majlis Kesukarelawanan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM).
“Sehingga kini sepuluh buah rumah kediaman akan dijadikan penempatan untuk sukarelawan, sebuah untuk bilik gerakan manakala rumah-rumah lain akan dijadikan penempatan kepada mangsa banjir samada dikalangan staf dan masyarakat setempat bergantung kepada kekosongan, ”ujar beliau ketika ditemui dipejabatnya.Prof Datuk Dr Mohamed menambah persediaan yang dilakukan ini adalah mengambil kira amaran yang diberikan supaya persiapan dan persediaan awal dilakukan sebelum banjir melanda.
Katanya sistem Komunikasi juga telah digerakkan supaya pengumuman mengenai banjir dan pemindahan dibuat melalui sistem panggilan ringkas (SMS), email ataupun melalui telefon.
Beliau berharap semua kakitangan dan pelajar sentiasa mendengar dan mendapatkan info terkini mengenai pengumuman banjir yang akan disampaikan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.
“Saya harap kakitangan dan pelajar UUM khususnya sentiasa bersedia dan mendengar amaran atau maklumat yang disampaikan samada secara terus ataupun melalui media agar tidak kelam kabut, ”ujar beliau lagi.Sementara itu bagi kakitangan yang menyertai kumpulan sukarelawan banjir nanti beliau memberi kelonggaran kerana tugas mereka kepada masyarakat juga amat diperlukan.
Katanya sumbangan tenaga melalui pembabitan dalam sukarelawan diharap dapat meningkatkan jati diri dan semangat kesukarelawanan dikalangan staf universiti ini.
Dalam pada itu Jawatankuasa tetap MASKUM Shahrin Ahmad dari UUM yang ditemui di Taman Siswa berkata, persiapan awal  telah dilakukan seperti yang diarahkan oleh Naib Canselor.
Manakala Pengurus Taman Siswa UUM, Rodzi Abd Rahman pula berkata, kemudahan lain seperti surau, dewan makan dan kelengkapan lain telah disediakan sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir di daerah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...